Powered By Blogger

Sponsor

Tuesday, May 5, 2009

Maut dilibas Mat Rempit

KERATAN AKHBAR HARIAN METRO 5 MAY 2009


KUANTAN: Dia bertandang ke bandar ini untuk memulakan pekerjaan baru bagi menyara keluarganya di Seremban, tetapi hajat terbabit berakhir dengan tragedi berdarah apabila maut dipukul sekumpulan Mat Rempit di Taman Esplanade di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, lelaki berusia 42 tahun itu dibelasah sekumpulan Mat Rempit menggunakan topi keledar dipercayai akibat salah faham.

Difahamkan, mangsa mahu melaporkan diri untuk bekerja di sebuah kilang di Semambu, esoknya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) negeri, Superintendan Nordin Mustapha, berkata mangsa bersama tiga rakan sebayanya tiba di bandar ini jam 2.30 pagi sebelum berehat di Taman Esplanade selepas kepenatan menaiki kereta dari Seremban.

Katanya, tiga rakannya tidur dalam kereta manakala mangsa baring di atas kerusi di taman itu sebelum terdengar jeritan seorang daripada rakannya meminta bantuan

“Mangsa cuba membantu rakannya untuk meleraikan pergaduhan itu. Bagaimanapun, dia menjadi mangsa belasahan kumpulan Mat Rempit terbabit yang memukul kepalanya menggunakan topi keledar.

“Melihat keadaan mangsa tidak sedarkan diri, kumpulan Mat Rempit terbabit terus melarikan diri dengan menunggang motosikal,” katanya di sini, semalam.

Nordin berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia, kira-kira jam 1.30 tengah hari Sabtu lalu.

“Tiga rakan mangsa yang turut cedera dibenarkan pulang sebaik selesai menerima rawatan sebagai pesakit luar di HTAA dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

“Motif kejadian masih dalam siasatan lanjut dan tiga rakan mangsa mendakwa tidak mengetahui punca sebenar dan sebab dipukul kumpulan Mat Rempit berkenaan,” katanya.

Katanya, polis masih memburu kumpulan Mat Rempit itu selain meminta orang ramai mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan.

Siasatan berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

No comments:

SHARE THIS

Related Posts with Thumbnails